Tuesday, September 3, 2019

SEJARAH RADIOLOGI

Ramai yang mengetahui secara umum alat pengimejan bioperubatan (biomedical imaging) dan mungkin pernah melalui prosedur yang menggunakan alat tersebut seperti imbasanSinar-X dan juga ultrasound. Namun mungkin tak ramai yang mengetahui dengan mendalam tahap teknologi yang membolehkan alat tersebut berfungsi, manfaat yang diperolehi daripadanya serta perkembangan peralatan  sedemikian yang merupakan gabungan pelbagai disiplin bidang sains dan teknologi dalam penciptaannya. Dalam artikel ini saya akan menjelaskan secara ringkas tentang teknologi pengimejan dalam perubatan, yang lazimnya disebut sebagai radiologi. Istilah radiologi digunakan disebabkan teknologi ini melibatkan penggunaan radiasi. Walaubagaimanapun tidak  semua radiasi bersifat mengion seperti Sinar-X. Contohnya seperti radiasi ultrasound dan Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang tidak bersifat mengion.

Pengimejan bioperubatan moden boleh dikatakan bermula dengan penemuan Sinar-X olehW. C. Roentgen pada tahun 1895 (Sinar-X juga dinamakan Sinar Roentgen). Sinar-X adalah gelombang elektromagnet yang mempunyai panjang gelombang antara 0.01 hingga 10 nanometer (nm) dan tenaga antara 120 voltan elektron (eV) hingga 120 (keV). Maka dari segi panjang gelombang ia berada antara Sinar Gamma yang lebih bertenaga danSinar Ultraungu (UV). Penemuan ini melayakkan Roentgen menerima Hadiah Nobelpertama dalam bidang fizik pada tahun 1901.

Sinar-X yang digunakan untuk tujuan pengimejan bioperubatan adalah sinar ’berkekuatan tinggi’ yang mempunyai tenaga antara 12 hingga 120 keV. Pengimejan Sinar-X lazimnya dibuat dengan satu sumber sinaran dan pengesan terdiri daripada filem foto, sintilator ataupun yang terkini diod semikonduktor. Bahagian badan yang lebih tumpat seperti tulang akan kelihatan lebih cerah kerana lebih menyerap Sinar-X sebaliknya bahagian yang kurang tumpat seperti otot, lemak dan udara akan kelihatan gelap. Proses ini juga disebut sebagairadiografi unjuran kerana imej tulang dan organ akan bertindih antara satu sama lain.

Variasi pada radiografi adalah flouroskopi di mana imej unjuran dibentuk pada pengesan yang terdiri daripada paparan flourescent. Proses ini ditemui oleh Roentgen pada 8 November 1895. Imej akan sentiasa terbentuk maka ia seolah-olah adalah suatu ‘wayang’ Sinar-X. Seterusnya Thomas Edison mencipta flouroskop pertama yang dipasarkan. Penciptaan kamera TV menggantikan paparan flourescent pada tahun 1950-an. Flouroskop terkini menggunakan kamera video berasaskan Charge Couple Device (CCD) dan membolehkan imej dimanipulasi secara digital. Flouroskopi biasanya digunakan bersama ejen kontras untuk melihat bahan tersebut dibawa di dalam badan. Prinsip sama juga digunakan di dalam angiografi di mana satu kateter (catheter) halus dimasukkan ke dalam saluran darah, bagi mengesan saluran darah menggunakan Sinar-X.



No comments:

Post a Comment